Selasa, 2 September 2014

Kaedah Pembelajaran Koperatif

Pembelajaran koperatif merujuk kepada kaedah pengajaran yang memerlukan murid dari pelbagai kebolehan bekerjasama dalam kumpulan kecil untuk mencapai satu matlamat yang sama (Slavin, 1982). Sasaran adalah tahap pembelajaran yang maksimum bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk rakan-rakan yang lain. Lima unsur asas dalam pembelajaran koperatif adalah:
a)      saling bergantung antara satu sama lain secara positif,
b)      saling berinteraksi secara bersemuka,
c)       akauntabiliti individu atas pembelajaran diri sendiri,
d)      kemahiran koperatif, dan
e)      pemprosesan kumpulan

Ganjaran diberi kepada individu dan kumpulan dalam pelaksanaan kaedah ini. Individu dalam kumpulan dikehendaki menunjukkan kefahaman masing-masing dan memainkan peranan berbeza bergilir-gilir. Kemahiran sosial dan pemprosesan kumpulan digalakkan.

Beberapa cara pembelajaran koperatif telah diperkembangkan oleh tokoh-tokoh pendidikan, misalnya Jigsaw, TGT (teams-games-tournaments), STAD (Students Teams- Achievement Division), Belajar Bersama (Learning together), Permainan Panggil Nombor (Numbered Heads), dan Meja Bulat (Round Table).

Pengajaran sebaya memainkan peranan yang sangat penting menurut cara Jigsaw. Dalam cara ini, pembahagian tuigas diagihkan di kalangan murid dalam kumpulan pelbagai kebolehan. Bahan pembelajaran dipecahkan kepada topik-topik kecil. Setiap murid diagihkan tugas untuk mempelajari satu topik kecil. Setelah menguasai topik kecil sendiri, murid akan mengajar rakan-rakan lain dalam kumpulannya sehingga semua ahli kumpulan menguasai semua topik kecil itu. Selepas itu satu aktiviti dijalankan untuk menguji sama semua ahli kumpulan berjaya memahami dan menyempurnakan tugasan yang diberi. Jigsaw merupakan cara pengajaran berpusatkan murid. Kemungkinan besar bahan baru dapat dikaitkan dengan pengetahuan sedia ada dan membantu penstrukturan semula idea.

Pembelajaran koperatif menggalakkan murid berinteraksi secara aktif dan positif dalam kumpulan. Ini membolehkan perkongsian idea dan pemeriksaan idea sendiri dalam suasana yang tidak terancam, sesuai dengan falsafah konstruktivisme.


Kreativiti Guru dalam Pengajaran Bahasa (Pelita Bahasa, September 2012)

Oleh
Izani Hj Daud

Kepelbagaian kaedah pengajaran dan kreativiti guru dalam pengajaran dan pembelajaran (P & P) akan dapat membantu pembangunan modal insan untuk melahirkan pelajar yang kompeten, inovatif, kreatif dan berkebolehan bagi memenuhi keperluan negara pada masa hadapan. Kaedah pengajaran hari ini tidak lagi dibelenggu oleh buku teks yang berpusat kepada guru semata-mata.  Sebaliknya pengajaran perlu berpusat kepada pelajar melalui pelbagai aktiviti pembelajaran. Mengamalkan prinsip kepelbagaian dalam pengajaran sebagai rempah hidup di bilik darjah akan dapat mewujudkan keseronokan dalam pembelajaran dan seterusnya keberkesanan pembelajaran kepada pelajar itu sendiri .  
      Dalam penulisan ini, pemfokusan akan diberi kepada usaha-usaha yang boleh dilaksanakan dalam proses P & P di bilik darjah untuk menarik minat pelajar untuk belajar.
Pemikiran kreatif adalah kebolehan mengambil kira maklumat tanpa mengasingkan ke dalam kotak-kotak tertentu. Satu kaedah berfikir yang memaksa kita mengenal pasti kaitan-kaitan baru antara fakta-fakta yang dilihat yang dapat menerbitkan idea yang menyimpang jauh daripada idea sedia ada (Pellegrino dan Politis, 1999). Manakala pemikiran inovatif pula adalah kebolehan mengubah suai kepada benda yang sedia ada untuk menjadi lebih baik dan berguna iaitu, sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat dan lain-lain yang baru (Kamus Dewan, Edisi Ketiga, 1994).
         Guru berperanan menyampaikan  pengajaran kepada muridnya. Sejauh mana tercapainya objektif ini adalah bergantung kepada kaedah atau cara penyampaian guru itu sendiri . Guru yang berjaya ialah guru yang bukan sahaja luas dalam ilmu pengetahuannya, tetapi juga bijak menggunakan kaedah dan  teknik pengajaran yang berkesan . Antara   kaedah  dan  teknik  pengajaran  bahasa Melayu yang dikenal pasti sesuai untuk menarik minat pelajar ialah penggunaan keratan akhbar dalam pengajaran,  kerja kumpulan membina soalan, kaedah hafalan sifir bahasa, aktiviti minda kreatif dan bimbingan khusus pelajar lemah.

Penggunaan Keratan Akhbar dalam Pengajaran
Satu daripada kaedah yang digunakan dalam pengajaran bahasa adalah melalui penggunaan bahan bantu mengajar. Penggunaaannya bertujuan menarik perhatian pelajar supaya meminati pelajaran yang diajarkan. Hal itu dikatakan demikian kerana pengajaran secara langsung yang berterusan akan membosankan pelajar dan mampu menghilangkan semangat untuk belajar.       
  
Rasional penggunaan keratan akhbar sebagai bahan bantu mengajar disandarkan kepada pendapat seorang pakar pendidikan, Edgar Dale (1978) yang menggariskan tujuh kepentingan penggunaan BBM:
i.    merangsang minat yang tinggi dalam kalangan pelajar.
ii.    menyediakan satu dasar kukuh untuk perkembangan kefahaman serta corak pemikiran dan oleh itu mengurangkan pelbagai gerak lisan daripada pelajar.
iii.    membekalkan satu dasar untuk perkembangan pemelajaran pelajar dan oleh itu menjadikan pelajaran mereka lebih kekal.
iv.    menyediakan pengalaman yang tidak dapat diperoleh dengan mudahnya melalui cara-cara lain.
v.    Menolong pelajar dalam kefahaman dan oleh itu mempercepat perkembangan perbendaharaan kata.
vi.    menawarkan pengalaman yang sebenar dan dengan demikian merangsangkan kegiatan seorang pelajar.
vii.    mendorong pelajar untuk menyiasat dan dengan demikian menambahkan bacaan sukarela.
                                                   
      Berdasarkan hal yang diperkatakan oleh Dale,  nyatalah bahawa bahan bantu mengajar berupaya menanam minat dan mengembangkan kreativiti pelajar. Selain itu, bahan bantu mengajar dapat juga memberikan keseronokan kepada pelajar kerana dengan penggunaannya,  pelajar akan mengalami  situasi  
yang terkeluar daripada suasana pemelajaran biasa dan seterusnya dapat menghindarkan mereka daripada berasa bosan untuk belajar.

 Penggunaan keratan akhbar boleh dijalankan dengan membuat perancangan pada awal tahun lagi. Setiap pelajar akan diberi tugas secara bergilir-gilir untuk membuat keratan akhbar, berupa keratan rencana pengarang akhbar. Tarikh giliran itu ditetapkan oleh guru untuk satu tahun iaitu, satu sesi pengajian. Keratan akhbar tersebut akan ditampal pada setiap hari di dalam buku khas yang akan disimpan oleh setiausaha kelas. 


                               
             Keratan rencana pengarang akhbar dapat memberikan sumbangan yang besar kepada pelajar dalam aspek pengucapan lisan, terutama pelajar tingkatan  3 untuk ujian Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS). Aktiviti tersebut dapat dijadikan sebagai latihan sebelum mereka diuji untuk PLBS. 

            Untuk aktiviti lisan, guru hendaklah memastikan setiap pelajar sentiasa bersedia dengan keratan rencana pengarang akhbar masing-masing. Pada setiap  hari,  iaitu  pada  sepuluh  minit   pertama  masa  pengajaran,  guru  akan  
meminta pelajar tampil ke hadapan bagi memperkatakan topik atau fakta yang terkandung dalam keratan rencana pengarang akhbar yang dibacanya. Fakta tersebut hendaklah diucapkan secara lisan tanpa merujuk keratan tersebut.

              Dengan cara itu, pelajar dapat dilatih menggunakan kreativiti sendiri untuk berucap di khalayak atau  pengucapan awam yang juga dapat menolong pelajar dalam ujian lisan. Selain itu, cara ini juga dapat melahirkan pelajar yang petah bercakap.
                        
       Keratan rencana pengarang akhbar juga dapat membantu pelajar dalam penulisan  karangan.  Melaluinya,  guru hendaklah  meminta  pelajar  menyenaraikan isi-isi  penting yang terdapat dalam keratan tersebut di dalam buku latihan sebelum ditampal di dalam buku khas yang disediakan. Semasa pelajar membentangkan keratan rencana pengarang akhbar di kelas, pelajar yang lain hendaklah membuat catatan di dalam buku latihan. Kaedah tersebut tentunya menjimatkan masa kerana dalam setahun, setiap pelajar hanya dikehendaki membuat tujuh hingga lapan keratan sahaja. Hasil daripada perkongsian antara pelajar, mereka berjaya mengumpul semua tajuk keratan rencana pengarang akhbar untuk setahun (365 buah keratan akhbar).

         Sepanjang sesi pengajian berlangsung, guru akan memilih tajuk yang tertentu daripada keratan rencana pengarang akhbar yang dikira penting untuk perbincangan di kelas bagi aktiviti penulisan karangan. Aktiviti tersebut akan memberikan keseronokan kepada pelajar kerana mereka dapat berkongsi bahan dan idea, serta dapat berbincang bersama-sama. 
            
          
Kerja Kumpulan Membina Soalan 
         Kerja kumpulan membina soalan boleh dipraktikkan dalam pembelajaran  komponan sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS). Aktiviti ini memerlukan kreativiti dan mencabar minda pelajar.         
Untuk aktiviti ini para pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan akan dibekalkan sebuah karya sastera yang terdapat dalam teks KOMSAS. Setiap anggota dalam kumpulan akan menyumbangkan idea untuk membina soalan dan menyediakan jawapan bagi setiap soalan yang dibina. Rasional  aktiviti ini dijalankan adalah untuk memastikan pelajar-pelajar membaca karya berkenaan dengan teliti. Hal ini kerana untuk membina soalan memerlukan `penggubal soalan’ itu benar-benar memahami jalan cerita dan setiap aspek sastera yang terkandung di dalamnya. Soalan yang akan dibina pula sudah tentulah aspek yang penting yang terkandung dalam karya sastera berkenaan, yakni soalan yang mencabar minda. 

Menelaah teks komsas untuk aktiviti membina soalan
         Cara ini akan memberi pengalaman kepada pelajar untuk mengenal  pasti bahagian-bahagian yang penting yang terdapat dalam karya sastera berkenaan. Pengalaman di bilik darjah mendapati pelajar mampu membina soalan hasil daripada perbincangan dalam kumpulan.
        
Selepas aktiviti membina soalan dijalankan, sesi kuiz pula  diadakan. Guru akan mengumpul soalan-soalan yang dibina oleh pelajar dan memilih soalan-soalan yang sesuai untuk dijadikan soalan kuiz dengan sedikit pengubahsuaian. Selain dapat mencungkil kreativiti pelajar melalui aktiviti yang dijalankan, pelajar-pelajar juga akan berasa bangga apabila soalan-soalan yang mereka bina terpilih. Manakala bagi mereka yang soalan mereka tidak terpilih akan berusaha pada sesi pembelajaran lain supaya soalan yang dibina akan terpilih. Suasana pembelajaran seperti ini akan mewujudkan iklim pembelajaran yang sihat kerana masing-masing pelajar bersaing antara satu sama lain membina soalan yang berkualiti untuk dipilih sebagai soalan kuiz. 

                
Kaedah Hafalan Sifir Bahasa  
         Dalam usaha meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, khususnya dalam  tatabahasa yang rata-ratanya pelajar lemah dalam aspek ini, kaedah hafalan boleh diperkenalkan. 
Kaedah pengajaran secara hafalan, sebagaimana hafalan sifir dalam matematik, mempunyai kaitan dengan penggunaan kata dalam bahasa. Hal ini demikian kerana terdapat banyak pelajar yang tidak mampu menggunakan kata dengan tepat. Dalam penulisan, penggunaan kata sendi nama dan kata hubung banyak digunakan. Maka, pelajar mesti cekap dalam kedua-dua penggunaan kata itu bagi menghasilkan penulisan yang baik, terutamanya dari segi penggunaan kata dalam ayat. Kata sendi dan kata hubung biasa sangat digunakan dalam penulisan sebagai perangkai kata atau penanda wacana. Perangkai kata digunakan untuk menghubungkan perkataan dengan perkataan, ayat dengan ayat dan perenggan dengan perenggan. Sekiranya pelajar tidak menguasai perangkai-perangkai kata itu,  sukar untuk mereka menggunakannya dalam penulisan.           
Semua guru bahasa akan mengajarkan golongan kata yang terdapat dalam sukatan pelajaran bahasa Melayu sekolah rendah dan menengah, tetapi kerap kali pelajar lupa akan fungsi kata bagi setiap kata atau bertukar antara satu sama lain. Contohnya, antara sendi nama dari dan daripada. Berdasarkan pengalaman penulis, diperhatikan bahawa pelajar kerap bertukar antara kedua-duanyanya. Contohnya;
        1)    *Ahmad menerima surat dari kawannya.
        2)    *Dia tinggal tidak jauh daripada rumah ibunya.

    Kedua-dua perkataan sendi nama di atas telah disalahgunakan. Ayat (1) sepatutnya menggunakan kata sendi daripada  manakala bagi ayat (2), kata sendi yang betul ialah dari. Hal itu berlaku dalam kalangan pelajar kerana mereka tidak benar-benar faham akan fungsi atau penggunaan kata sendi berkenaan. Kata sendi dari hanya boleh digunakan untuk arah datangnya sesuatu dan untuk menyatakan permulaan masa. Kata sendi daripada pula digunakan  untuk hal-hal lain, seperti orang, perbandingan, asal kejadian, benda abstrak dan untuk menunjukkan keanggotaan.

     Kesilapan-kesilapan yang sering berlaku inilah memerlukan suatu perkaedahan dalam pengajaran dijalankan di dalam bilik darjah, salah satunya melalui aktiviti sifir bahasa.

Operasi Aktiviti Sifir Bahasa

1)    Kaedah hafalan atau Sifir Bahasa ini  digunakan 
    untuk  mengajarkan kesemua jenis golongan kata.
2)    Fokus  diberikan kepada kata sendi nama dan kata hubung terlebih
dahulu kerana kedua-dua kata itu kerap digunakan dalam penulisan sebagai penanda wacana atau perangkai kata.  Kemudian diikuti dengan golongan kata yang lain pula.
3)        Pelajar diberikan senarai kata sendi nama dan kata hubung  berserta 
           dengan fungsi atau cara penggunaannya untuk dihafal di rumah.          
4)    Semasa di  bilik darjah guru akan memperuntukkan masa antara lapan hingga 10 minit pertama sebelum sesi pengajaran dimulakan untuk aktiviti sifir bahasa. Guru akan meminta semua pelajar berdiri dan akan mengemukakan soalan terbuka menanyakan fungsi kata sendi nama atau kata hubung.  
5)    Pelajar yang tidak berjaya semasa sesi soal jawab akan didenda iaitu membuat  kerja  rumah.  Pelajar  dikehendaki  merujuk  kepada  lima  kata 
sendi nama atau kata hubung dengan menyatakan fungsi setiap kata tersebut.
6)    Pada hari-hari yang berikutnya guru akan meneruskan aktiviti hafalan ini di  bilik darjah hingga semua pelajar dapat menguasai fungsi kata sendi nama dan kata hubung.
7)    Pada hari-hari seterusnya aktiviti golongan kata yang     lain pula dijadikan sebagai aktiviti seperti sebelumnya. 
8)        Aktiviti ini hendaklah dibuat sepanjang tahun. Setelah kesemua golongan    
kata telah dijalankan, guru akan membuat ulangan untuk memantapkan   lagi ingatan dan kefahaman pelajar.  

   Kaedah  ini sangat berfaedah kepada pelajar.  Suasana yang menyeronok di  bilik darjah dengan sedikit `tekanan’ (denda) dapat membantu pelajar menguasai tatabahasa,  terutama   golongan kata. Dengan  menggunakan  sifir bahasa   pelajar akan bersedia sebelum memulakan sesi pembelajaran. Lebih daripada itu, aktiviti ini akan mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan pelajar. Mereka akan membuat hafalan sebagaimana mereka menghafal sifir (kalian) untuk matematik. 


Aktiviti Minda Kreatif 

Kreativiti pelajar dapat dicungkil seandainya guru bijak menjalankan aktiviti yang boleh merangsang minda pelajar. Kadang-kadang pengajaran dan pembelajaran secara biasa tidak mampu menajamkan kreativiti pelajar. 

   Pelajar yang dikategorikan sebagai remaja merupakan golongan yang mempunyai tingkat sensitiviti yang tinggi. Sensitiviti yang ada pada para remaja membolehkan mereka mengungkapkan kata-kata yang menghasilkan pelahiran perasaan dan membangkitkan rasa keindahan bahasa.  Kalangan   pelajar   atau             
remaja dalam lingkungan umur 14 hingga 15 tahun berupaya merumuskan kata yang berkesan sehingga terbentuk satu rangkai kata yang boleh memberikan maksud dan kesan mendalam berupa kata-kata hikmat. Rasional aktiviti ini dijalankan adalah untuk penulisan karangan kerana markah bonus ada diperuntukkan kepada pelajar-pelajar yang mampu memasukkan kata hikmat dalam penulisan karangan. 

   Aktiviti ini boleh dijalankan di dalam bilik darjah. Para pelajar diminta secara spontan menghasilkan ungkapan penarik atau kata-kata hikmat secara spontan dalam sesi pembelajaran. Pelajar-pelajar diberikan masa selama lebih kurang 25 minit untuk berfikir dan mengungkapkan kata. Pengalaman penulis mendapati hasilnya sangat mengagumkan apabila majoriti pelajar dapat menghasilkan kata-kata hikmat sendiri. Diperturunkan beberapa contoh kata hikmat yang dihasilkan oleh pelajar.
          

i.    Jadikan hari ini sebagai permulaan
dan hari esok sebagai penentuan hidup 
anda.                               


ii.    Orang yang berjaya dengan cemerlang
dalam hidupnya ialah orang yang tidak
pernah memikirkan tentang kegagalan. 
                                              
iii.    Setitis air tidak boleh menjadi selautan
air, tetapi sedikit ilmu boleh menjadi
selautan ilmu.

iv.    Latihan berterusan telusnya kemahiran.

v.    Setiap langkah adalah permulaan yang 
akan menyelesaikan permasalahan.

vi.    Menyeru manusia kepada kebaikan adalah 
sukar berbanding mengajak manusia ke
arah keburukan. 

vii.    Pengalaman lalu tidak boleh dijadikan
pengalaman yang abadi untuk dicontohi.

viii.    Semalam merupakan kenangan manakala
hari esok merupakan harapan dan pastikan
harapan itu akan menjadi kenyataan.
           

        Aktiviti ini menjelaskan bahawa, pelajar peringkat sekolah pun mampu berfalsafah jika mereka diberi peluang.     Pembaharuan dalam P & P dapat menggalakkan pelajar untuk menulis kata-kata hikmatnya sendiri yang sudah tentulah akan dapat membudayakan pemikiran kreatif dan inovatif dalam kalangan pelajar. 


Bimbingan Khusus Pelajar Lemah

    Guru juga tidak seharusnya melupakan pelajar yang lemah di dalam kelas yang diajar. Mereka tidak boleh diabaikan dan usaha hendaklah diambil menangani kelemahan pelajar. Untuk aspek penulisan umpamanya, guru boleh meminta pelajar menulis karangan dengan bimbingan guru. Misalnya, dalam penulisan ringkasan karangan, guru boleh membimbing pelajar menulis ringkasan karangan dengan cara menulis karangan yang tidak lengkap pada papan kapur. Dua kaedah boleh dijalankan oleh guru seperti di bawah.

        1)  Mengosongkan bahagian isi dalam karangan 
             yang perlu dilengkapkan oleh pelajar.

        2)  Mengosongkan bahagian pangkal ayat untuk
             pelajar memasukkan penanda wacana yang
             sesuai dalam ayat.

    Pengajaran seperti ini hendaklah dilakukan oleh pelajar tanpa jemu-jemu oleh guru. Pengalaman penulis dalam pengajaran kaedah ini sangat menakjubkan apabila didapati pelajar mampu menulis karangan dengan baik setelah menjalani latihan buat beberapa ketika.
     
Kesimpulan
         Kepelbagaian perkaedahan dalam mengajar adalah penting. Kaedah-kaedah yang telah diutarakan semuanya adalah berpusat kepada pelajar dan guru sebagai fasilitator, yang lebih menjurus kepada pembudayaan pemikiran pelajar yang kreatif dan inovatif. 
Para pelajar akan seronok belajar apabila guru menggunakan pelbagai pendekatan dalam pengajaran. Keseronokan dalam menjalankan aktiviti  akan  menyebabkan  mereka  minat  untuk  belajar dan guru dapat menerapkan input-input berkaitan dengan kreativiti dan inovasi dalam P & P,  supaya nanti institusi sekolah bukan sahaja dapat melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik semata-mata tetapi seorang pelajar yang kompeten, inovatif, kreatif dan berkebolehan dalam usaha membangun modal insan minda kelas pertama sejajar dengan teras kedua yang terdapat dalam PIPP. Seterusnya, memenuhi keperluan Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju.  
            

Bibliografi

Edgar Dale 1978. The Good Mind : Phi Delta Kappa Educational
    Foundation.

Izani Hj Daud 2010. “Belajar Bahasa dengan Keratan Akhbar”. dlm. 
    Pelita Bahasa: Jld. 22, Bil. 05: 5 Mei. hlm. 24-25.
    
__________  2009. “Sifir Bahasa”. dlm. Pelita Bahasa: Jld. 22, Bil. 04:
     4 April, hlm. 38-39.

Kamus Dewan 1994(Edisi Ketiga). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.    

Pellegrino,Richard & Politis,Michael 1999. Improving Your IQ..New York :
    A Simon & Schuster Macmillan Company.