Oleh
Izani Hj Daud
Kepelbagaian kaedah pengajaran dan kreativiti
guru dalam pengajaran dan pembelajaran (P & P) akan dapat membantu
pembangunan modal insan untuk melahirkan pelajar yang kompeten, inovatif,
kreatif dan berkebolehan bagi memenuhi keperluan negara pada masa hadapan.
Kaedah pengajaran hari ini tidak lagi dibelenggu oleh buku teks yang berpusat
kepada guru semata-mata. Sebaliknya pengajaran perlu berpusat kepada
pelajar melalui pelbagai aktiviti pembelajaran. Mengamalkan prinsip
kepelbagaian dalam pengajaran sebagai rempah hidup di bilik darjah akan dapat
mewujudkan keseronokan dalam pembelajaran dan seterusnya keberkesanan
pembelajaran kepada pelajar itu sendiri .
Dalam penulisan
ini, pemfokusan akan diberi kepada usaha-usaha yang boleh dilaksanakan dalam
proses P & P di bilik darjah untuk menarik minat pelajar untuk belajar.
Pemikiran kreatif adalah kebolehan mengambil
kira maklumat tanpa mengasingkan ke dalam kotak-kotak tertentu. Satu kaedah
berfikir yang memaksa kita mengenal pasti kaitan-kaitan baru antara fakta-fakta
yang dilihat yang dapat menerbitkan idea yang menyimpang jauh daripada idea
sedia ada (Pellegrino dan Politis, 1999). Manakala pemikiran inovatif pula
adalah kebolehan mengubah suai kepada benda yang sedia ada untuk menjadi lebih
baik dan berguna iaitu, sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem,
adat dan lain-lain yang baru (Kamus Dewan, Edisi Ketiga, 1994).
Guru berperanan menyampaikan pengajaran kepada muridnya. Sejauh mana
tercapainya objektif ini adalah bergantung kepada kaedah atau cara penyampaian
guru itu sendiri . Guru yang berjaya ialah guru yang bukan sahaja luas dalam
ilmu pengetahuannya, tetapi juga bijak menggunakan kaedah dan teknik
pengajaran yang berkesan . Antara kaedah dan
teknik pengajaran bahasa Melayu yang dikenal pasti sesuai untuk
menarik minat pelajar ialah penggunaan keratan akhbar dalam pengajaran,
kerja kumpulan membina soalan, kaedah hafalan sifir bahasa, aktiviti minda
kreatif dan bimbingan khusus pelajar lemah.
Penggunaan Keratan Akhbar dalam Pengajaran
Satu daripada kaedah yang digunakan dalam
pengajaran bahasa adalah melalui penggunaan bahan bantu mengajar.
Penggunaaannya bertujuan menarik perhatian pelajar supaya meminati pelajaran
yang diajarkan. Hal itu dikatakan demikian kerana pengajaran secara langsung
yang berterusan akan membosankan pelajar dan mampu menghilangkan semangat untuk
belajar.
Rasional penggunaan keratan akhbar sebagai
bahan bantu mengajar disandarkan kepada pendapat seorang pakar pendidikan,
Edgar Dale (1978) yang menggariskan tujuh kepentingan penggunaan BBM:
i. merangsang minat yang
tinggi dalam kalangan pelajar.
ii. menyediakan satu dasar
kukuh untuk perkembangan kefahaman serta corak pemikiran dan oleh itu
mengurangkan pelbagai gerak lisan daripada pelajar.
iii. membekalkan satu dasar
untuk perkembangan pemelajaran pelajar dan oleh itu menjadikan pelajaran mereka
lebih kekal.
iv. menyediakan pengalaman
yang tidak dapat diperoleh dengan mudahnya melalui cara-cara lain.
v. Menolong pelajar dalam
kefahaman dan oleh itu mempercepat perkembangan perbendaharaan kata.
vi. menawarkan pengalaman
yang sebenar dan dengan demikian merangsangkan kegiatan seorang pelajar.
vii. mendorong pelajar
untuk menyiasat dan dengan demikian menambahkan bacaan sukarela.
Berdasarkan
hal yang diperkatakan oleh Dale, nyatalah bahawa bahan bantu mengajar
berupaya menanam minat dan mengembangkan kreativiti pelajar. Selain itu, bahan
bantu mengajar dapat juga memberikan keseronokan kepada pelajar kerana dengan
penggunaannya, pelajar akan mengalami situasi
yang terkeluar daripada suasana pemelajaran
biasa dan seterusnya dapat menghindarkan mereka daripada berasa bosan untuk
belajar.
Penggunaan keratan akhbar boleh
dijalankan dengan membuat perancangan pada awal tahun lagi. Setiap pelajar akan
diberi tugas secara bergilir-gilir untuk membuat keratan akhbar, berupa keratan
rencana pengarang akhbar. Tarikh giliran itu ditetapkan oleh guru untuk satu tahun
iaitu, satu sesi pengajian. Keratan akhbar tersebut akan ditampal pada setiap
hari di dalam buku khas yang akan disimpan oleh setiausaha kelas.
Keratan rencana pengarang akhbar dapat memberikan sumbangan yang besar kepada
pelajar dalam aspek pengucapan lisan, terutama pelajar tingkatan 3 untuk
ujian Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS). Aktiviti tersebut dapat
dijadikan sebagai latihan sebelum mereka diuji untuk PLBS.
Untuk aktiviti lisan, guru hendaklah memastikan setiap pelajar sentiasa
bersedia dengan keratan rencana pengarang akhbar masing-masing. Pada
setiap hari, iaitu pada sepuluh minit
pertama masa pengajaran, guru akan
meminta pelajar tampil ke hadapan bagi
memperkatakan topik atau fakta yang terkandung dalam keratan rencana pengarang
akhbar yang dibacanya. Fakta tersebut hendaklah diucapkan secara lisan tanpa
merujuk keratan tersebut.
Dengan cara itu, pelajar dapat dilatih menggunakan kreativiti sendiri untuk
berucap di khalayak atau pengucapan awam yang juga dapat menolong pelajar
dalam ujian lisan. Selain itu, cara ini juga dapat melahirkan pelajar yang
petah bercakap.
Keratan
rencana pengarang akhbar juga dapat membantu pelajar dalam penulisan
karangan. Melaluinya, guru hendaklah meminta
pelajar menyenaraikan isi-isi penting yang terdapat dalam keratan
tersebut di dalam buku latihan sebelum ditampal di dalam buku khas yang disediakan.
Semasa pelajar membentangkan keratan rencana pengarang akhbar di kelas, pelajar
yang lain hendaklah membuat catatan di dalam buku latihan. Kaedah tersebut
tentunya menjimatkan masa kerana dalam setahun, setiap pelajar hanya
dikehendaki membuat tujuh hingga lapan keratan sahaja. Hasil daripada
perkongsian antara pelajar, mereka berjaya mengumpul semua tajuk keratan
rencana pengarang akhbar untuk setahun (365 buah keratan akhbar).
Sepanjang sesi pengajian berlangsung, guru akan memilih tajuk yang tertentu
daripada keratan rencana pengarang akhbar yang dikira penting untuk
perbincangan di kelas bagi aktiviti penulisan karangan. Aktiviti tersebut akan
memberikan keseronokan kepada pelajar kerana mereka dapat berkongsi bahan dan
idea, serta dapat berbincang bersama-sama.
Kerja Kumpulan Membina Soalan
Kerja kumpulan membina soalan boleh dipraktikkan dalam pembelajaran
komponan sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS). Aktiviti ini
memerlukan kreativiti dan mencabar minda
pelajar.
Untuk aktiviti ini para pelajar dibahagikan
kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan akan dibekalkan sebuah karya sastera
yang terdapat dalam teks KOMSAS. Setiap anggota dalam kumpulan akan
menyumbangkan idea untuk membina soalan dan menyediakan jawapan bagi setiap
soalan yang dibina. Rasional aktiviti ini dijalankan adalah untuk
memastikan pelajar-pelajar membaca karya berkenaan dengan teliti. Hal ini
kerana untuk membina soalan memerlukan `penggubal soalan’ itu benar-benar
memahami jalan cerita dan setiap aspek sastera yang terkandung di dalamnya.
Soalan yang akan dibina pula sudah tentulah aspek yang penting yang terkandung
dalam karya sastera berkenaan, yakni soalan yang mencabar minda.
Menelaah teks komsas untuk aktiviti membina
soalan
Cara ini akan memberi pengalaman kepada pelajar untuk mengenal pasti
bahagian-bahagian yang penting yang terdapat dalam karya sastera berkenaan.
Pengalaman di bilik darjah mendapati pelajar mampu membina soalan hasil
daripada perbincangan dalam kumpulan.
Selepas aktiviti membina soalan dijalankan,
sesi kuiz pula diadakan. Guru akan mengumpul soalan-soalan yang dibina
oleh pelajar dan memilih soalan-soalan yang sesuai untuk dijadikan soalan kuiz
dengan sedikit pengubahsuaian. Selain dapat mencungkil kreativiti pelajar
melalui aktiviti yang dijalankan, pelajar-pelajar juga akan berasa bangga
apabila soalan-soalan yang mereka bina terpilih. Manakala bagi mereka yang
soalan mereka tidak terpilih akan berusaha pada sesi pembelajaran lain supaya
soalan yang dibina akan terpilih. Suasana pembelajaran seperti ini akan
mewujudkan iklim pembelajaran yang sihat kerana masing-masing pelajar bersaing
antara satu sama lain membina soalan yang berkualiti untuk dipilih sebagai
soalan kuiz.
Kaedah Hafalan Sifir Bahasa
Dalam usaha meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu,
khususnya dalam tatabahasa yang rata-ratanya pelajar lemah dalam aspek
ini, kaedah hafalan boleh diperkenalkan.
Kaedah pengajaran secara hafalan, sebagaimana
hafalan sifir dalam matematik, mempunyai kaitan dengan penggunaan kata dalam
bahasa. Hal ini demikian kerana terdapat banyak pelajar yang tidak mampu
menggunakan kata dengan tepat. Dalam penulisan, penggunaan kata sendi nama dan
kata hubung banyak digunakan. Maka, pelajar mesti cekap dalam kedua-dua
penggunaan kata itu bagi menghasilkan penulisan yang baik, terutamanya dari
segi penggunaan kata dalam ayat. Kata sendi dan kata hubung biasa sangat
digunakan dalam penulisan sebagai perangkai kata atau penanda wacana. Perangkai
kata digunakan untuk menghubungkan perkataan dengan perkataan, ayat dengan ayat
dan perenggan dengan perenggan. Sekiranya pelajar tidak menguasai
perangkai-perangkai kata itu, sukar untuk mereka menggunakannya dalam
penulisan.
Semua guru bahasa akan mengajarkan golongan
kata yang terdapat dalam sukatan pelajaran bahasa Melayu sekolah rendah dan
menengah, tetapi kerap kali pelajar lupa akan fungsi kata bagi setiap kata atau
bertukar antara satu sama lain. Contohnya, antara sendi nama dari dan daripada.
Berdasarkan pengalaman penulis, diperhatikan bahawa pelajar kerap bertukar
antara kedua-duanyanya. Contohnya;
1) *Ahmad menerima surat dari kawannya.
2) *Dia tinggal tidak jauh daripada rumah ibunya.
Kedua-dua perkataan sendi
nama di atas telah disalahgunakan. Ayat (1) sepatutnya menggunakan kata sendi
daripada manakala bagi ayat (2), kata sendi yang betul ialah dari. Hal
itu berlaku dalam kalangan pelajar kerana mereka tidak benar-benar faham akan
fungsi atau penggunaan kata sendi berkenaan. Kata sendi dari hanya boleh
digunakan untuk arah datangnya sesuatu dan untuk menyatakan permulaan masa.
Kata sendi daripada pula digunakan untuk hal-hal lain, seperti orang,
perbandingan, asal kejadian, benda abstrak dan untuk menunjukkan keanggotaan.
Kesilapan-kesilapan
yang sering berlaku inilah memerlukan suatu perkaedahan dalam pengajaran
dijalankan di dalam bilik darjah, salah satunya melalui aktiviti sifir bahasa.
Operasi Aktiviti Sifir Bahasa
1) Kaedah hafalan atau
Sifir Bahasa ini digunakan
untuk mengajarkan
kesemua jenis golongan kata.
2) Fokus diberikan
kepada kata sendi nama dan kata hubung terlebih
dahulu kerana kedua-dua kata itu kerap
digunakan dalam penulisan sebagai penanda wacana atau perangkai kata.
Kemudian diikuti dengan golongan kata yang lain pula.
3)
Pelajar diberikan senarai kata sendi nama dan kata hubung berserta
dengan fungsi atau cara penggunaannya untuk dihafal di
rumah.
4) Semasa di bilik
darjah guru akan memperuntukkan masa antara lapan hingga 10 minit pertama
sebelum sesi pengajaran dimulakan untuk aktiviti sifir bahasa. Guru akan
meminta semua pelajar berdiri dan akan mengemukakan soalan terbuka menanyakan
fungsi kata sendi nama atau kata hubung.
5) Pelajar yang tidak
berjaya semasa sesi soal jawab akan didenda iaitu membuat kerja
rumah. Pelajar dikehendaki merujuk kepada
lima kata
sendi nama atau kata hubung dengan menyatakan
fungsi setiap kata tersebut.
6) Pada hari-hari yang
berikutnya guru akan meneruskan aktiviti hafalan ini di bilik darjah
hingga semua pelajar dapat menguasai fungsi kata sendi nama dan kata hubung.
7) Pada hari-hari
seterusnya aktiviti golongan kata yang lain pula dijadikan
sebagai aktiviti seperti sebelumnya.
8)
Aktiviti ini hendaklah dibuat sepanjang tahun. Setelah kesemua
golongan
kata telah dijalankan, guru akan membuat
ulangan untuk memantapkan lagi ingatan dan kefahaman
pelajar.
Kaedah ini sangat
berfaedah kepada pelajar. Suasana yang menyeronok di bilik darjah
dengan sedikit `tekanan’ (denda) dapat membantu pelajar menguasai
tatabahasa, terutama golongan kata. Dengan
menggunakan sifir bahasa pelajar akan bersedia sebelum
memulakan sesi pembelajaran. Lebih daripada itu, aktiviti ini akan mewujudkan
persaingan yang sihat dalam kalangan pelajar. Mereka akan membuat hafalan
sebagaimana mereka menghafal sifir (kalian) untuk matematik.
Aktiviti Minda Kreatif
Kreativiti pelajar dapat dicungkil seandainya
guru bijak menjalankan aktiviti yang boleh merangsang minda pelajar.
Kadang-kadang pengajaran dan pembelajaran secara biasa tidak mampu menajamkan
kreativiti pelajar.
Pelajar yang dikategorikan
sebagai remaja merupakan golongan yang mempunyai tingkat sensitiviti yang
tinggi. Sensitiviti yang ada pada para remaja membolehkan mereka mengungkapkan
kata-kata yang menghasilkan pelahiran perasaan dan membangkitkan rasa keindahan
bahasa. Kalangan pelajar atau
remaja dalam lingkungan umur 14 hingga 15
tahun berupaya merumuskan kata yang berkesan sehingga terbentuk satu rangkai
kata yang boleh memberikan maksud dan kesan mendalam berupa kata-kata hikmat.
Rasional aktiviti ini dijalankan adalah untuk penulisan karangan kerana markah
bonus ada diperuntukkan kepada pelajar-pelajar yang mampu memasukkan kata
hikmat dalam penulisan karangan.
Aktiviti ini boleh dijalankan di
dalam bilik darjah. Para pelajar diminta secara spontan menghasilkan ungkapan
penarik atau kata-kata hikmat secara spontan dalam sesi pembelajaran.
Pelajar-pelajar diberikan masa selama lebih kurang 25 minit untuk berfikir dan
mengungkapkan kata. Pengalaman penulis mendapati hasilnya sangat mengagumkan
apabila majoriti pelajar dapat menghasilkan kata-kata hikmat sendiri.
Diperturunkan beberapa contoh kata hikmat yang dihasilkan oleh pelajar.
i. Jadikan hari ini sebagai
permulaan
dan hari esok sebagai penentuan hidup
anda.
ii. Orang yang berjaya
dengan cemerlang
dalam hidupnya ialah orang yang tidak
pernah memikirkan tentang kegagalan.
iii. Setitis air tidak
boleh menjadi selautan
air, tetapi sedikit ilmu boleh menjadi
selautan ilmu.
iv. Latihan berterusan
telusnya kemahiran.
v. Setiap langkah adalah
permulaan yang
akan menyelesaikan permasalahan.
vi. Menyeru manusia kepada
kebaikan adalah
sukar berbanding mengajak manusia ke
arah keburukan.
vii. Pengalaman lalu tidak
boleh dijadikan
pengalaman yang abadi untuk dicontohi.
viii. Semalam merupakan
kenangan manakala
hari esok merupakan harapan dan pastikan
harapan itu akan menjadi kenyataan.
Aktiviti ini menjelaskan bahawa, pelajar peringkat sekolah pun mampu
berfalsafah jika mereka diberi peluang. Pembaharuan dalam P
& P dapat menggalakkan pelajar untuk menulis kata-kata hikmatnya sendiri
yang sudah tentulah akan dapat membudayakan pemikiran kreatif dan inovatif
dalam kalangan pelajar.
Bimbingan Khusus Pelajar Lemah
Guru juga tidak seharusnya
melupakan pelajar yang lemah di dalam kelas yang diajar. Mereka tidak boleh
diabaikan dan usaha hendaklah diambil menangani kelemahan pelajar. Untuk aspek
penulisan umpamanya, guru boleh meminta pelajar menulis karangan dengan
bimbingan guru. Misalnya, dalam penulisan ringkasan karangan, guru boleh
membimbing pelajar menulis ringkasan karangan dengan cara menulis karangan yang
tidak lengkap pada papan kapur. Dua kaedah boleh dijalankan oleh guru seperti
di bawah.
1) Mengosongkan bahagian isi dalam karangan
yang perlu dilengkapkan oleh pelajar.
2) Mengosongkan bahagian pangkal ayat untuk
pelajar memasukkan penanda wacana yang
sesuai dalam ayat.
Pengajaran seperti ini
hendaklah dilakukan oleh pelajar tanpa jemu-jemu oleh guru. Pengalaman penulis
dalam pengajaran kaedah ini sangat menakjubkan apabila didapati pelajar mampu
menulis karangan dengan baik setelah menjalani latihan buat beberapa ketika.
Kesimpulan
Kepelbagaian perkaedahan dalam mengajar adalah penting. Kaedah-kaedah yang
telah diutarakan semuanya adalah berpusat kepada pelajar dan guru sebagai
fasilitator, yang lebih menjurus kepada pembudayaan pemikiran pelajar yang
kreatif dan inovatif.
Para pelajar akan seronok belajar apabila
guru menggunakan pelbagai pendekatan dalam pengajaran. Keseronokan dalam
menjalankan aktiviti akan menyebabkan mereka
minat untuk belajar dan guru dapat menerapkan input-input berkaitan
dengan kreativiti dan inovasi dalam P & P, supaya nanti institusi
sekolah bukan sahaja dapat melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam
akademik semata-mata tetapi seorang pelajar yang kompeten, inovatif, kreatif
dan berkebolehan dalam usaha membangun modal insan minda kelas pertama sejajar
dengan teras kedua yang terdapat dalam PIPP. Seterusnya, memenuhi keperluan
Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju.
Bibliografi
Edgar Dale 1978. The Good Mind : Phi Delta
Kappa Educational
Foundation.
Izani Hj Daud 2010. “Belajar Bahasa dengan
Keratan Akhbar”. dlm.
Pelita Bahasa: Jld. 22,
Bil. 05: 5 Mei. hlm. 24-25.
__________ 2009. “Sifir Bahasa”. dlm.
Pelita Bahasa: Jld. 22, Bil. 04:
4 April, hlm. 38-39.
Kamus Dewan 1994(Edisi Ketiga). Kuala Lumpur
: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pellegrino,Richard & Politis,Michael
1999. Improving Your IQ..New York :
A Simon & Schuster
Macmillan Company.